Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik pengumuman ‘Penghargaan Untuk Rakyat’ oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengenai penangguhan kadar tol di 10 lebuh raya utama bagi tahun ini.
Seperti mana disebut oleh Perdana Menteri, pada tahun ini, kadar tol di 10 lebuh raya terbabit akan dinaikkan selaras dengan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, Kerajaan MADANI amat memahami tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat ketika ini. Oleh itu, langkah ini diharap dapat meringankan beban pengguna lebuh raya.
Penangguhan kenaikan kadar tol ini dapat memberi manfaat dan mengurangkan bebanan bayaran tol kepada kira-kira 941,000 pengguna, khususnya pengguna harian yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.
Lebuh raya yang terlibat bagi penangguhan kenaikan tol ini ialah:
(i) Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA);
(ii)Lebuhraya KL – Kuala Selangor (LATAR);
(iii)Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).
(iv)Lebuhraya Senai – Desaru (SDE);
(v)Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2);
(vi)Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE);
(vii)Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS);
(viii)Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE);
(ix)Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX); dan
(x)Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Sebagai balasan terhadap komitmen ini, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan menanggung pampasan sebanyak lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi yang terlibat, agar operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetap berjalan dengan baik dan selamat untuk semua.
Keputusan ini bukan mudah, tetapi ia dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh tanggungjawab. Ia membuktikan bahawa suara rakyat didengar dan diberi keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Saya dan seluruh warga KKR akan terus komited memastikan jalan raya dan lebuh raya negara sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat, tanpa mengira latar belakang.