Syabas KKR lapor status jalan dalam MYJalan, inisiatif perlu dicontohi

Syabas KKR lapor status jalan dalam MYJalan, inisiatif perlu dicontohi

Tahun lalu, penulis berkesempatan membuat liputan berhubung kempen MYJalan dilancarkan Kementerian Kerja Raya (KKR), iaitu satu platform tunjuk cara dan pendedahan kepada pengguna jalan raya mengenai penyenggaraan jalan raya sedia ada.

Berminat dengan pelaksanaan kempen terbabit dilancarkan pada 24 Ogos tahun lalu, apatah lagi tidak mahu menanggung rasa sakit hati apabila kereta dipandu terlanggar jalan berlubang, penulis memuat naik aplikasi MYJalan yang menjadi sebahagian daripada kempen terbabit.

Tanpa meletakkan harapan tinggi, penulis cuba memainkan peranan sebagai pengguna jalan raya dengan membuat aduan menerusi aplikasi terbabit membabitkan sebuah jalan raya di ibu kota.

Caranya tidak sukar, apabila pilihan diberikan untuk meletakkan jenis masalah terdapat pada jalan berkenaan, selain perlu meletakkan gambar sebagai bukti. Beberapa hari selepas itu, penulis melalui jalan sama dan timbul rasa teruja, apabila melihat jalan terbabit sudah diperbaiki.

Aplikasi MYJalan adalah contoh cerminan paling tepat sebagai platform penyelesaian terbaik bagi mendepani isu jalan rosak yang sering menjadi mimpi ngeri kepada pengguna jalan raya. Boleh diterima bahawa kaedah ini nyata jauh lebih mudah berbanding hanya mengadu atau membuat bising di media sosial yang belum tentu mesejnya sampai kepada pihak berwajib.

Siapa tahu dengan hanya sumbangan kecil daripada pengguna memberikan maklumat berhubung kerosakan jalan melalui aplikasi MYJalan, ia memberi impak amat besar, mungkin boleh menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Ini selari matlamat KKR yang mana Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi meletakkan isu penyelenggaraan jalan sebagai fokus kementerian dalam mengurus infrastruktur awam negara kerana impaknya bukan sahaja dari segi aspek kewangan negara, tetapi lebih utama adalah nyawa pengguna.

Apatah lagi, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya kempen kesedaran keselamatan jalan raya dilipat ganda dan diperluaskan susulan jumlah kemalangan sepanjang tahun lalu mencecah 600,000 kes.

Kita akur kira-kira 80 peratus punca kemalangan jalan raya berlaku akibat ‘kesilapan manusia’ berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebelum ini.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Pencegahan Kecederaan dan Promosi Keselamatan Putra, Prof Dr Kulanthayan KC Mani, turut menyatakan amalan tidak selamat di jalan raya kekal sebagai punca utama nahas jalan raya, khususnya kemalangan maut.

Namun, itu tidak menidakkan usaha KKR untuk terus menambah baik kualiti jalan raya di negara ini, yang turut boleh memainkan peranan bagi menyelamatkan nyawa pengguna kenderaan.

Berdasarkan sedikit pengetahuan diperoleh ketika membuat liputan kempen terbabit, selain mengguna aplikasi MYJalan, tidak semua jalan raya di Malaysia di bawah kawal selia KKR atau Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Hakikatnya, ada jalan raya dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

Sehubungan itu, kempen dan aplikasi MyJalan yang mengamalkan prinsip No Wrong Door Policy umpama satu ‘pusat sehenti’ bagi pengguna menyalurkan terus maklumat berhubung kerosakan jalan raya pada satu platform sahaja tanpa perlu memeningkan kepala memikirkan mengenai pihak mana mengendalikan jalan terbabit.

Tanggungjawab pengguna buat aduan

Bagaimanapun, pada masa sama, amat penting untuk pengguna jalan raya sedar usaha mengatasi jalan rosak dan berlubang adalah tindakan serta tanggungjawab bersama. Ia juga membabitkan kerjasama rentas jabatan atau kementerian, bukannya terletak di bahu KKR atau JKR negeri semata-mata.

Selepas lebih setahun, kempen MYJalan terus utuh memainkan peranannya dalam menjadi pintu gerbang kepada penyelesaian kerosakan jalan apabila sebanyak 17,157 aduan diterima sejak 1 Ogos 2023 hingga 29 Julai lalu. Daripada keseluruhan jumlah aduan itu, 5,178 atau 30.18 peratus adalah membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR.

Komitmen KKR menambah baik kualiti jalan raya di negara ini terbukti apabila sebanyak 4,772 daripada 5,178 aduan berjaya diselesaikan, manakala hanya baki 406 aduan sedang dalam proses tindakan.

Sementara baki 11,979 aduan atau 69.82 peratus adalah milik PBT, KKDW, PTG dan JPS dengan semuanya sudah diterima dan disalurkan kepada jabatan berkenaan untuk dilaksanakan.

Namun timbul persoalan apabila tiada akses untuk melihat sejauh mana pencapaian penambahbaikan jalan raya di bawah empat agensi dan kementerian lain berikutan tiada kemas kini dinyatakan dalam aplikasi MYJalan, sebaliknya semua maklumat itu hanya diketahui mereka secara dalaman.

Maklumat kemas kini daripada empat agensi dan kementerian ini sangat penting bagi pengguna kenderaan melihat sendiri sejauh mana pencapaian kerja menambah baik kualiti jalan raya, hasil aduan disampaikan mereka.

Justeru, penting untuk aplikasi MYJalan ditambah baik dengan memastikan semua agensi terbabit dalam membangunkan jalan raya, mengemas kini pencapaian atau hasil kerja mereka selepas aduan disalurkan. Apatah lagi majoriti aduan diberikan pengguna adalah membabitkan jalan dari empat agensi dan kementerian terbabit.

Difahamkan, KKR turut tidak dimaklumkan berhubung kemas kini kerja agensi lain sedangkan makluman itu penting bagi memastikan komitmen dilakukan mereka juga setanding dengan apa dilaksanakan kementerian.

Sebagai pengguna, saya mengucapkan tahniah kepada KKR kerana menjalankan tanggungjawab sebaiknya untuk menyediakan aplikasi yang membolehkan status baik pulih jalan raya dikemas kini yang patut dicontohi agensi berkaitan lain.

Usaha kerajaan mewujudkan keadaan jalan raya lebih baik melalui pelancaran kempen dan aplikasi MYJalan tidak hanya statik dengan mengharapkan kerjasama pengguna semata-mata, namun ia diperluaskan melalui penubuhan jawatankuasa bertindak.

April lalu, KKR menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di negara ini.

Pembabitan tiga kementerian itu kerana bidang kuasa mengenai jalan dan penguatkuasaan masing-masing saling berhubung kait dan memerlukan sinergi dalam mengatasi isu keselamatan jalan. Ramuan yang ada kini dilihat pendekatan terbaik dalam menambah baik jaringan jalan raya di seluruh pelosok negara.

Namun, apa yang dibimbangi apabila kemudahan platform ini tidak sampai kepada pengetahuan masyarakat luar bandar yang secara logiknya, antara pengguna paling kerap berdepan isu jalan raya. Sehubungan itu, penting bagi KKR mempromosikan penggunaan MYJalan di kawasan luar bandar.